Friday, January 23, 2009

Selamat Datang Pengkalan Semangat 2

Ini ialah di antara salah satu perancangan tahun 2009, mendirikan pondok dari pada kayu 100% dan tidaklah macam Pengkalan semangat 1 dulu. Buat masa ini hanya rangka kayu hampir siap jika tiada masalah pada pertengahan bulan feb. nanti saya jangkakan pondok bolehlah diami. Dalam minggu ini saya akan balik kampong dan akan membawa tingkap pula. Sebenarnya ia tingkap lama dari orang tua dan tidak di gunakan lagi selepas kerja pengubahsuaian rumah di kg dulu. Manakala pintu saya ambil dari pejabat yang tidak di gunakan. Semuanya banyak barang yang diperolehi dari barang terpakai. Nak jimat kos. Hanya genting dan kertas aluminium yang perlu saya beli.
Saya banyak menggunakan skru dan nut pada tiang-tiang utama untuk mengikat antara kayu, ini untuk memudahkan jika ia dipindah alih kelak. Rasanya peringkat yang paling sukar ialah mereka-bina pada bahagian bumbung kerana belapis dua, bertujuan angin keluar masuk seterusnya mendingin suasana dalam pondok. Insyallah saya akan melaporkan PS2 dan perkembangannya selepas balik kg nanti.

















Tuesday, January 13, 2009

PROJEK 170

Tahun 2009 merupakan tahun yang sukar, itu pandangan dari pakar-pakar ekonomi. Banyak perusahaan dan kilang mengurangkan perkerja dan operasi kerana tiada permintaan produk terutama dari negara-negara maju. Hari ini pekara itu berlaku pada sahabat kita, dan ianya tidak mustahil terkena pada diri kita. Apa yang penting kita mesti tabah kerana segala musibah yang menimpa sudah tercatat dalam kada dan kadar. Insyallah jika kita postif tahun 2009 merupakan tahun yang hebat untuk kita.
Saya ada satu projek yang saya namakan projek 170. Ia bukannya satu projek mega atau gah. Cuma ia satu projek untuk menyedarkan generasi muda (anak saya) apa itu pelaburan dlm pertanian. Dia telah menanam sebanyak 86 pokok pisang pada bulan july2008 dan saya telah memberi upah dan penyelanggaran sehingga ia dituai sebanyak RM170. Dan satu lagi beliau membuat kiraan jika dgn nilai yang sama di masukkan dalam ASB. Saya menyuruh supaya membuat catatan ke atas setiap akitiviti tersebut, seperti gambar hendaklah direkodkan setiap 2 bulan.Gambar di ambil pada 23/08/08,22/10/08 dan 25/12/2008.











































































Friday, January 02, 2009

Sambutan tahun baru sebagai motivasi perbaiki akhlak diri

TAHUN baru yang tiba membuka lembaran episod baru dalam kehidupan kita umat manusia. Siang dan malam silih berganti tanpa jemu melengkapkan peredaran sehingga cukup setahun tidak kira tahun Hijrah dan Masihi.
Umat manusia menggaru kepala memikirkan kenapa begitu cepat masa berlalu sedangkan baru beberapa kerja dilakukan, baru beberapa agenda dilaksanakan dan kenapa masa berputar sebegitu pantas.
Anak di Palestin terus menghitung hari bila agaknya mereka merdeka kerana setiap hari sentiasa mendengar dentuman bom serta desiran peluru yang tidak bermata oleh Yahudi dan Amerika. Anak muda Malaysia meraikan kedatangan tahun baru dengan konsert serta pelbagai hiburan.
Tahun baru Hijrah dan Masihi tiba membawa seribu erti kepada umat Islam yang mengerti erti sebuah kehidupan diredai Allah. Peristiwa Hijrah disambut saban tahun mengajak seluruh umat Islam bermuhasabah dan memperbaiki diri untuk mendapat reda Allah.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-Asr)
Surah itu membawa kita meneliti setiap perincian detik waktu dilalui sama ada diisi perkara sia-sia atau dengan jalan yang diredai Allah. Apabila melihat situasi di Malaysia, muhasabah sering diabaikan terutama di kalangan anak muda apabila tibanya tahun baru apatah lagi tahun baru Hijrah.
Tidak ramai yang tahu makna atau pengertian Hijrah dan alangkah sedihnya melihat perkembangan itu. Kisah penghijrahan Nabi Muhammad yang diulang setiap kali tibanya 1 Muharam adalah titik tolak kepada perkembangan Islam di seluruh dunia hingga hari ini.
Peristiwa Hijrah yang sudah dilalui 1430 tahun ini seharusnya menyedarkan umat Islam untuk menterjemahkan pengertian hijrah dalam kehidupan mereka supaya tahun baru sentiasa menjadi peristiwa penting.
Sewajarnya tahun baru Hijrah menjadi detik merenung kembali perjalanan dilalui setahun berlalu dan menilai kembali aspek yang perlu dipertingkatkan serta perkara harus ditinggalkan untuk lahir sebagai umat Islam memiliki keperibadian cemerlang.
Sambutan tahun baru digalakkan diisi dengan memohon ampun kepada kepada Allah atas dosa lampau supaya Allah membuka pintu taubat-Nya kepada hamba-Nya yang salih. Ibadah juga perlu diperbanyakkan kerana insan unggul adalah lebih baik peribadi dan ibadahnya dari masa lalu. Nilai ibadah perlu dipertingkatkan supaya rohani jasmani senantiasa hampir dengan Allah.
Bacaan Yasin yang dianjurkan sempena Awal Muharam perlu diperhebatkan untuk merapatkan silaturahim serta memartabatkan syiar Islam. Program kesyukuran sambutan tahun baru perlu diperbanyakkan supaya masyarakat dapat menginsafi diri.
Adalah lebih baik sambutan tahun baru sama ada tahun baru Hijrah atau Masihi padat dengan pengisian yang boleh menyentuh hati umat Islam untuk berhijrah ke arah kehidupan lebih baik. Khususnya, tahun baru Masihi yang dibudayakan sekarang dengan jeritan serta program hiburan.
Bukan menghalang rakyat khasnya anak muda meraikan tahun baru dalam suasana gembira tetapi apa yang berlaku lebih kepada aktiviti menjurus pelanggaran syariat apabila lelaki dan perempuan berkumpul tanpa had waktu atas alasan meraikan tahun baru.
Sambutan yang menjadi tradisi boleh diubah dengan program lebih bermakna jika pihak berkuasa bersungguh-sungguh ingin melakukan perubahan atau penghijrahan ke arah masa depan lebih baik untuk rakyat serta negara.
Begitu juga ibu bapa, bertanggungjawab membimbing anak menanti datangnya tahun baru melalui pengawasan yang jelas, bukan membiarkan anak membuat sesuka hati atas alasan untuk mereka meraikan tahun baru seperti orang lain.
Semua pihak harus berganding bahu bersama-sama memperkukuhkan sambutan tahun baru ini dengan program dan majlis berfaedah yang bukannya berpaksikan hiburan semata-mata. Muhasabah diri perlulah menjadi teras program supaya masyarakat mengerti sebuah kehidupan yang bermakna.
Seluruh rakyat Malaysia haruslah menyemai nilai moral dan modal insan yang tinggi supaya seluruh dunia memandang bahawa rakyat negara ini adalah bangsa bertamadun tinggi dan perlu diteladani.


Oleh Zulzaidi Mahmod
http://nurjeehan.hadithuna.com/sambutan-tahun-baru-sebagai-motivasi-perbaiki-akhlak-diri/