Saturday, April 03, 2010

Lawatan Ke Kebun Bunga Kantan.


Minggu lepas kawan saya memberitahu ada saudaranya mengusahakan kebun dengan menanam pokok bunga kantan. Menurutnya penanaman ini telah lama di buat dan ia merupakan sumber pendapatan tambahan. Alhamdulillah, sampai juga saya ke rumahnya semalam itupun setelah bertanya pada penduduk kampong kerana saya tiada alamat lengkap. Saya di sambut mesra dengan Tuan Haji Asmaui walaupun tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali tetapi atas dasar persaudaraan seagama beliau menceritakan pengalaman tentang pokok kantan. Katanya dia telah berkecimpung dengan penanaman ini sejak tahun 90an lagi. Pihak jabatan pertanian telah memberi bantuan dari segi benih, baja dan cara penjagaan yang betul kerana pada masa itu belum ada lagi pekebun yang mengusahakan secara serius. Dulu beliau ada dua 2 kebun yang di tanam sepenuhnya dengan kantan, tetapi kini hanya tinggal satu kebun yang juga tempat tinggal beliau sekarang. Kebun yang ada sekarang seluas 2 ekar, dari tinjauan saya luasnya tanah yang di tanam kantan ialah 1 1/4 ekar setelah di tolak dengan tapak rumah dan pokok lain seperti kelapa dan buahan. Katanya dari keluasan yang ada beliau boleh mengeluarkan 600-700 kuntum seminggu jika musim hujan. Hasilnya akan merosot kepada 300-400 kuntum seminggu ketika musim kemarau. Buat masa ini pasaran untuk sekuntum ialah 40 sen beliau menjual kepada peraih. Menurutnya peraih ini membekalkan kepada satu kilang untuk membuat sos laksa dan tomyam yang di ekspot ke Thailand dan Singapura. Saya meminta beliau jika mengetahui kilang tempat pemprosesan bunga kantan supaya dapat menghubungi saya, manalah tahu jika dapat peluang melawat ke dalam kilang.