Tuesday, September 06, 2011

Lembu Beranak Lagi

Syukur dapat seekor lagi anak lembu jantan semalam, sebelum ni dalam bulan puasa dapat tapi saiz agak kecil jika di bandingkan yg baru.
Pagi tadi baru ada kesempatan melihat lembu di kebun. Anak lembu syawal ni kelihatan manja dan berani bila saya mengusap kepalanya. Mungkin ia mengikut perangai ibunya yang sentiasa cool.... Sebenarnya saya tidak menyangka lembu muda ini beranak awal sebab jangkaan kandungan baru 8 bulan.
Lembu tua yang melahirkan pada bulan puasa masih tetap garang. Pantang kalau menghampiri anaknya pasti ia berdengus. Kata orang klu nak tahu lembu tu garang atau tidak di pangkal peha sebelah dalam ada berwarna putih. Tak tahulah tapi si ibu dan anak mmg ada tanda spt tu.

Thursday, August 25, 2011

Terkini Kantan Bunga Pink

Update ttg kebun, alhamdulillah bulan Ramadan untuk tahun ini pasaran bunga kantan tiada masalah. Permintaan dari kawan sebagai peniaga untuk pasaran sekitar Shah Alam,Subang dan Damansara sentiasa konsisten.
Insyallah tahun depan kami sekeluarga akan berpindah ke rumah baru. Jarak rumah baru kami tidak sampai 3 meter dari kebun. Persiapan telah di buat sedikit demi sedikit. Ini termasukan pemasangan pagar yang memisah kandang kambing dengan kawasan tanaman sayuran untuk sara diri. Tiada modal diperlukan untuk membina pagar kerana kayu pagar di perolehi dari palet2 batu-bata dari projek perumahan yg kami bakal duduki nanti.
Kami bersyukur kerana ternakan kambing sudah memasuki tahun ke 4 dan terus bertahan.
Plan utama kami adalah emas hitam dari hasil ternakan sebagai keuntungan. Hasil tanaman kami telah bertambah menggunakan baja ini. Begitu juga lembu, walaupun hanya 3 ekor pada Dis 2009 ia bertambah menjadi 5 ekor. Insyallah tidak lama lagi sekor ibu muda akan melahirkan anak.
Ramai di antara kawan-kawan bertanya kenapa membeli rumah di tepi Sungai Klang, tambah mereka lagi dengan harga ini boleh memiliki rumah dan persekitaran yang lebih menarik. Saya jelaskan kepada mereka bahawa setiap orang berbeza akal tetapi tujuan satu iaitu mencari kepuasan hidup. Mungkin 20 tahun lagi bila saya tidak berkerja tetap seperti sekarang mungkin masa saya banyak di kebun, sebab saya minat.
Saya percaya rakyat Malaysia akan lebih prihatin di masa medatang tentang semula jadi seperti penjagaan serta kebersihan sungai dan sumber makanan dsb. Masyarakat bandar akan cuba mencari alternatif macam rancangan tv di UK 'River Cottage', di mana mereka sebagai satu komuniti yg mengusahakan tanah terbiar. Rasanya dulu kita ada program seperti ini di kawasan Putrajaya.
Saya ada beratus gambar yg saya ambil mulai tahun 2004 semasa saya mula 'menceroboh' kebun ini. Begitu juga gambar rumah yg bakal saya duduki dari awal pembinaan dan Insyallah sampai siap. Saya mengambil bila ada perubahan besar, yang terkini ialah pemasangan bumbung.

Wednesday, July 06, 2011

Mencari Kasut Kebun di Vietnam

Khamis lepas dapat peluang pergi ke Vietnam selama 3hari. Selama ini selalu dengar cakap orang kalau beli kain baju,beg,kasut murah inilah tempatnya. Sesampai ke hotel letak barang terus ke Ben Thant. Biasanya orang tak berapa ramai kalau beli waktu pagi-pagi ni lagipun peniaga akan beri harga murah jika kita pelanggan pertama. Masa tu kita minta harga murah gila klu ada rezekai dia mesti bagi. Kalau harga sudah diberi jgn tak jadi beli kelak kena maki, katanya kita tak membawa 'ong' kat kedai dia.
Tujuan ke sini nak teman
kawan saja tapi dah sampai baik saya cari kasut dan topi kebun. Jalan punya jalan ada satu kedai bagi harga bagus untuk barang orignal. Setelah mencuba pakai pelbagai jenis kasut akhirnya saya memilih kasut Salomon ini. Nama mmg tak berapa kenal tapi sebabkan selesa dan murah saya ambil 2 pasang sekaligus. Kemudia beli lagi sepasang kasut Timberland. Antara dua jenis kasut ini kaki saya lebih selesa memakai kasut Salomon yang ada teknologi Gore-Tex. Bila surf internet rupanya kasut ni hebat juga ya....

Tuesday, June 21, 2011

Mencari Peluang Lain

Siapa yang tak sedih bila pelanggan tetap dah tidak mahu produk kita lagi? Pasti kita tertanya-tanya kenapa ya?produk kita tak relevan lagi ke?mutu dah tak sebaik dulu? Maka, bermacam-macam persoalan timbul dalam kepala. Jika ini berlaku usah kita risau dan berterusan sedih tapi anggaplah satu peluang untuk kita mematang diri dalam bisnes. Yang penting Persangka Baik kena tanam dalam minda kita dan berfikiran positif.

Itulah yang dialami saya sekarang, kedai yang selalu mengambil pisang dah tak nak lagi.
Terpaksalah kena cari kedai atau pasar lain atau kena buat pelbagai produk siap, contoh spt pisang goreng,kerepek,salai....Sebenarnya ada hajat nak buka gerai tapi nak dapat lesen/permit bukan senang kalau ada permit pun tempat tak strategi.Buat yang kat tepi jalan kena hambat pulak. Selalu juga sembang dgn kawan yang bisnes kat gerai kat tepi jalan dia kasi idea tapi berlawan dgn prinsip hidup. Ada buat tinjauan tadi ada pasar di sek 16 nak pisang nangka tapi harga RM1/kilo. Nampaknya klu tiada peluang lain terpaksa tolak kat sini sebab pisang kat kebun mulai tua dan ada yang masak.

Dalam sedih-sedih dpt berita kambing boer di kebun beranak 2 ekor, Alhamdulillah. Begitulah hidup! yang penting kena ikhlas dan persangka baik.





Tuesday, June 07, 2011

Wiring

Kerja-kerja pembinaan rumah teras 2 tingkat yang saya beli bakal siap tahun depan begitu rancak berjalan sekarang ini. Boleh di katakan setiap minggu ada perubahan positif di tapak
pembinaan sebagai contoh minggu lepas pendawaian dan pembinaan lantai tingkat 1.
Gambar di bawah kelihatan 4 paip pvc (tambahan 2paip) untuk wiring tingkat bawah manakala untuk rumah jiran ada 2 paip pvc.

Masa pendawaian ini di antara waktu yang saya tunggu-tunggu kerana pada masa ini pemasangan paip pendawaian akan di buat. Kebiasanya mengikut standard rumah baru sistem 3 pin soket untuk bahagian dapur selalunya tidak mencukupi. Jika di rumah sekarang saya memerlukan 5 tempat 3 pin soket:-
i.Soket untuk Peti sejuk
ii.Soket untuk microwave oven
iii.soket untuk periuk nasi
iv.Pemanas air
v.Penyedut asap

tapi mengikut plan dalam S&P cuma ada 2 soket kat dapur kalau nak tambah bila rumah siap nanti kos dan keselamatan kena ambil kira. Ada setengah kontraktor akan membuat penyambungan dari soket dapur sedia ada kerana lebih cepat dan mudah. Sebenarnya ia kurang selamat sebabnya wayar ke soket sekarang ini saiznya kecil mungkin sesuai 1 atau 2 beban saja.
Saya telah menambah 5 tambahan soket terus ke kotak suis utama. Saya juga akan menambah kotak suis pendua untuk tingkat 2 melalui lubang tambahan pvc bersaiz 1 inci seperti di bawah(ikut plan asal hanya ada 1 lubang saiz 3/4inci ketingkat 2 yg bersambung di kotak suis utama.

Friday, April 08, 2011

AL-FATIHAH UNTUK AYAHANDA MERTUA SYED MOHAMED YASIN SYED ABD RAHMAN

Seawal jam 5:30pagi pada 5/4/2011 saya terjaga dari tidur, niat hati saya ingin melihat ‘abah’, ayah mertua yang berada di PPUM sejak semalam. Matlamatnya selepas waktu subuh saya bercadang ke PPUM sebab malam tadi abah banyak kali membuat panggilan ke handphone org rumah tapi bila di angkat tiada jawapan cuma dengar sayup-sayup bunyi mesin degupan jantung. Biasanya abah acap kali tertekan nombor orang rumah. Entah mengapa pagi tu, saya tidak jadi singgah ke PPUM sebaliknya terus ke pejabat kerana jam 8:45pagi ada kelas latihan WiFi yang perlu di uruskan. Saya bercadang datang selepas perasmian kerana boleh melawat abah lebih lama lagi taklah perlu tergesa-gesa. Tapi perancangan Allah yang mengubah segalanya, saya dapat berita abah meninggal sebelum membuat perasmian. Sempat saya bacakan teks ucapan Al-Fatihah untuk abah sebelum perasmian dan 5 minit kemudian saya terus ke hospital. Dalam perjalanan melalui DUKE saya mengubungi ibupejabat memaklumkan berita ini dan biasanya pengumuman ke seluruh staff melalui sistem audio akan disebarkan. Maaf pada kekawan kerana tak dapat balas balik sms yg di hantar.

Mencari tempat letak kereta di PPUM memang sukar terutama dalam waktu pejabat, dulu abah ada zikir yang diturunkan kpd org rumah jika jalan sesak,tiada parking atau sbgnya dia suruh baca…..semuanya akan mudah,insyallah. Sesampai saya di tingkat 4 CCU ramai sudara yang sudah menunggu. 20 minit kemudian jenazah abah sudah di bawa keluar dari hospital dan anak sulung beliau meminta ke masjid jalan 224 PJ untuk di mandikan. Alhamdulillah, saya dapat memandikan dan memkafankan beliau, sewaktu hayat dulu abah suka naik basikal (sebab itulah yang dia ada) dan memakai selipar. Jadi peluang memandikan ini saya gunakan untuk bersihkan tapak kaki dan tangan. Tapi….semua sudah bersih tiada tumit yang pecah-pecah yang biasa saya nampak dan tiada dedaki dan tiada najis bila di tekan perutnya. Wajah beliau bersih seolah-olah dia sedang tidur. Selepas tu jenazah abah di bawa ke Masjid Al Nahdah Al-Islam Seksyen 18 Shah Alam pula untuk di sembayangkan tapi di sebabkan waktu zohor sudah hampir kami menunggu azan. Selesai solat tahiyatul masjid, saya terlihat kucing masuk dan duduk bersebelah saya. Kuching yang sama duduk bersebelah keranda yang kami letakkan di depan bilik pak siak ke dalam masjid tadi. Hati saya berdetik kenapa biarkan kuching masuk kedalam masjid takut ia kencing kat karpet kan susah. Bila sekarang saya fikirkan semula, baru saya ingat abah selalu suka kasi makan kuching-kuching kat belakang rumah saya. Kadang mak mertua saya bising bila bersihkan lorong belakang rumah sebab tulang-tulang ayam atau ikan berselerak katanya malu kat jiran. Kadang abah jawap kerana ikhlas pada anjing org boleh boleh masuk syurga. Selesai solat zuhur pihak masjid terus membuat pengumumum dan menerangkan serba ringkas solat jenazah. Masa solat jenazah hujan lebat turun tapi terlalu sekejap rasanya kurang 5 minit. Sebab bila bawa jenazah keluar dari masjid hujan dah berhenti tapi nampak sekitar masjid dah basah. Saya singgah ke Carefour Sek 23 untuk membeli air100 plus dan air mineral untuk jemaah yang menghantar jenazah. Rasanya lewat 15 minit dari van jenazah tapi bila sampai sana semua sudah selesai cuma baru nak mulakan bacaan talkin. Laju betul dia orang buat kerja menguruskan perkuburan di sek 21 Shah Alam semuanya teratur. Rugi betul saya tak sempat turun menyambut arwah dlm kubur, bila balik rumah saya besan yg sama2 turun meyambut jenazah bercerita dia tidak pernah mengangkat jenazah seringan abah. Terlalu mudah.

Apa yang terkilan saya tidak sempat meminta ampun di saat kematianya, entah kenapa saya tidak tergerak hati untuk melawat semasa arwah membuat banyak panggilan pada malam jam 11 sebelum meninggal. Rasa teramat bersalah dan menyesal mungkin sukar untuk dipadamkan , semoga daku mendapat petunjuk. Al Fatihah pada abah Syed Mohamed Yasin bin Syed Abd Rahman semoga ruhmu ditempatkan dikalangan orang-orang yg beruntung dan semoga kami mengikuti sifat-sifat mulia abah.Amin.

Friday, February 25, 2011

Rumah Belum Terjual Lagi

Dah banyak kali orang datang tengok rumah yang saya duduk sekarang tapi belum ada rezeki lagi yang buat serius deal. Kebanyakan nak minta kurangkan harga.Kalau sikit2 tak ada hal, buat masa ini masih menunggu lagi....Insyallah esok, lusa,tulat atau mungkin tahun depan kalau ada, jika tidak nampak gayanya kena sewakan rumah ini.
Terima kasih pada kekawan yang mendoakan cita-cita saya membeli rumah dekat tepi kebun. S&P sudah di tandatangani pada bulan 12 yang lalu. Sekarang ni kerja-kerja dah 20 peratus.Di jangka rumah boleh diduduki pada Ogos 2012, tapi rasanya mengikut track rekod pemaju ia siap lebih awal.Gambar di ambil bermula bulan 5 tahun lepas hinggalah la ni.....