Kekadangan kehidupan ini perlukan lonjakan semangat. Begitulah diri ini rasanya masih ada banyak ruang-ruang kosong yang perlu di baiki. Banyak pekara yang di rancang tidak di laksanakan lantaran tidak serius dan mengambil mudah, mengambil contoh bila membuat sesuatu kerja terutama kerja di kebun padahal setiap pekerjaan halal itu adalah satu ibadat.
Semalam saya ada terbaca artikel http://dhonestfarm.blogspot.com/ (tobie)yang sesuai untuk di fikirkan dan mungkin elok saya tampal di blog ini untuk peringatan saya di masa mendatang.
Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong… di ambil dari Ustaz Hasrizal.
Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya, puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”, telah Pak Haji jawab dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.
Pak Haji menanam jagung.
Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.
Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Soalan “apa erti saya menganut Islam” bukan soalan hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.
Ah Chong menanam jagung.
Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.
Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.
Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?
Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.
Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?
Allah…
Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?
Pak Haji…
Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?
Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?
MUSLIM DI LADANG JAGUNG
Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?
Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad Abduh:
“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”
Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?
Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.
Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?
Jawapannya… Ah Chong.
Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).
Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.
Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!
TAUBAT SAINTIFIK
Bagaimanakah pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam penanaman jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus komited dengan solatnya, dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada ketaatannya sebagai apa yang selama ini dinamakannya sebagai ‘kerja Islam’.
Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?
Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.
Ya, mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian kerana beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.
KESEJAHTERAAN HIDUP
Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.
Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.
Ah Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan sahaja beliau tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk mengambil bahagian di tangan orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas kenyang, dia kembali lapar. Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan yang membelenggu kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains pertanian.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan nafkah minum makan yang dibekalkan.
Tetapi Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti hidupnya ini, sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa menjelang mati.
Semuanya kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan Tuhan. Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia tidak beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak bertemu jalan menuju Akhirat.
Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika berada di puncak pencapaian.
INILAH SIFIRNYA
Kesejahteraan adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.
Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam ciptaan-Nya ini.
Di sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.
Ketundukan dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga terdidik melalui seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam ajaran bernama Syariah. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada Syariatullah adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam
di petik dari http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=823
Cleaning The Mini Set
2 months ago
4 comments:
Satu perkara yg mungkin akan memeningkan sesetengah org ialah, "Bagaimana pula orang yg kuat beribadat, kuat bersedekah, sembahyang, taat pada org tua, hubungan yg sihat dgn manusia, alam dan tuhannya, akan tetapi tidak beragama Islam, cuma percaya pada Tuhan Yang Satu?" Dimana letaknya kedudukan dia disisi Allah.
Assalamualaikum..Alhamdulillah...terima kasih kerana telah melawat blog saya:) Semoga artikel itu dapat memberi motivasi kepada kita semua.
Sebenarnya Si Ah Chong tu hanya mematuhi 'Sunnatullah' manakala Pak Haji tu pula hanya mematuhi 'Syariatullah'. Sepatutnya sebagai muslim kita mematuhi dan memenuhi kedua-duanya, iaitu 'Syariatullah & Sunnatullah'. Barulah lengkap erti seorang 'Muslim' yang 'Islam'. Bagaimanapun, berkenaan kedudukan Ah Chong di sisi Allah....Wallahu a'lam...Hidayah itu adalah urusan Allah...kita yang dilahirkan islam belum tentu akan mati dalam islam...Na'uzubillahiminzalik....Semoga kita semua dipelihara dan ditetapkan iman hingga ke akhir hayat...Amiinn....
salam, macam mana orang yg dah usaha tapi takleh juga rezekinya.Maybe tuhan tak beri lagi....itu kita boleh kata.walaupun dah usaha dan tawakkal.tapi ada orang tak usaha mana tapi leh rezeki melimpah ruah, ibadat tak sempurna mana! Itu rezekinya kita leh kata gitu..... macam saya dah usaha nak tambah pendapatan tapi ada aje halangannya, kesihatanlah dsb.
PTk asyik aras 3 aje,org lain sekejap dapat 4 dan peroleh anjakan gaji..... saya ni dahlah isteri tak kerja....gaji tak tambah juga dan hampir putus asa...tapi tetap syukur kehadrat Illahi. maybe rezekiku Tuhan genggam dulu....Ok fikirlah kita semua
Coretan rasa ucopju2yahoo.com
salam, macam mana orang yg dah usaha tapi takleh juga rezekinya.Maybe tuhan tak beri lagi....itu kita boleh kata.walaupun dah usaha dan tawakkal.tapi ada orang tak usaha mana tapi leh rezeki melimpah ruah, ibadat tak sempurna mana! Itu rezekinya kita leh kata gitu..... macam saya dah usaha nak tambah pendapatan tapi ada aje halangannya, kesihatanlah dsb.
PTk asyik aras 3 aje,org lain sekejap dapat 4 dan peroleh anjakan gaji..... saya ni dahlah isteri tak kerja....gaji tak tambah juga dan hampir putus asa...tapi tetap syukur kehadrat Illahi. maybe rezekiku Tuhan genggam dulu....Ok fikirlah kita semua
Coretan rasa ucopju@yahoo.com
Post a Comment