Monday, April 23, 2012

Mencari Pasaran Dan Perkembangan terkini.

Salam semua,
Pertamanya saya memohon maaf kerana sudah begitu lama tidak menjenguk blog sendiri di sebabkan sibuk dengan kerja di jabatan baru dan di pejabat baru, maklumlah berkerja makan gaji. Walaupun begitu sempat juga menjenguk seketika blog kekawan yg seangkatan yang lain. Macam-macam ada, ada blognya semakin cergas dan malangnya banyak blog yang langsung tidak di'update', termasuklah saya.

Saya masih lagi membekalkan bunga kantan untuk kawasan Subang dan Shah Alam. Buat masa ini bekalan untuk bulan April telah melepasi permintaan,  hasil yang di kutip melebihi 1000 kuntum seminggu sedangkan pasaran yg diperolehi lebih kurang cuma 1000. Ini kerana pokok baru yang di tanam 2 tahun dulu telah pun mengeluarkan hasil di samping musimnya telah tiba. Jika ada sesiapa yang membaca blog ini dan ada peluang pasaran baru bolehlah tinggalkan pesanan di bawah.


Perkembangan rumah terkini, hampir 90 peratus rumah kami hampir siap.InsyAllah dalam bulan Julai atau Ogos ia boleh di duduki. Sehubungan dengan itu kami telah menanam (hampir 2 tahun) lebih 40 rumpun pokok kantan baru di atas ban sungai supaya kelihatan bersih dan hijau. Begitu juga kami telah menanam pokok limau nipis lebih 30 pokok bagi tujuan pemagaran tebing sungai bagi mengelak binatang2 seperti memerang dan biawak. 27 pokok kelapa gading dan matag.

Saya sentiasa berdoa agar segala cita-cita sentiasa dipermudahkan oleh Allah swt dan bersyukur atas pemberian rezeki yang tidak putus-putus,amin.........


Tuesday, September 06, 2011

Lembu Beranak Lagi

Syukur dapat seekor lagi anak lembu jantan semalam, sebelum ni dalam bulan puasa dapat tapi saiz agak kecil jika di bandingkan yg baru.
Pagi tadi baru ada kesempatan melihat lembu di kebun. Anak lembu syawal ni kelihatan manja dan berani bila saya mengusap kepalanya. Mungkin ia mengikut perangai ibunya yang sentiasa cool.... Sebenarnya saya tidak menyangka lembu muda ini beranak awal sebab jangkaan kandungan baru 8 bulan.
Lembu tua yang melahirkan pada bulan puasa masih tetap garang. Pantang kalau menghampiri anaknya pasti ia berdengus. Kata orang klu nak tahu lembu tu garang atau tidak di pangkal peha sebelah dalam ada berwarna putih. Tak tahulah tapi si ibu dan anak mmg ada tanda spt tu.

Thursday, August 25, 2011

Terkini Kantan Bunga Pink

Update ttg kebun, alhamdulillah bulan Ramadan untuk tahun ini pasaran bunga kantan tiada masalah. Permintaan dari kawan sebagai peniaga untuk pasaran sekitar Shah Alam,Subang dan Damansara sentiasa konsisten.
Insyallah tahun depan kami sekeluarga akan berpindah ke rumah baru. Jarak rumah baru kami tidak sampai 3 meter dari kebun. Persiapan telah di buat sedikit demi sedikit. Ini termasukan pemasangan pagar yang memisah kandang kambing dengan kawasan tanaman sayuran untuk sara diri. Tiada modal diperlukan untuk membina pagar kerana kayu pagar di perolehi dari palet2 batu-bata dari projek perumahan yg kami bakal duduki nanti.
Kami bersyukur kerana ternakan kambing sudah memasuki tahun ke 4 dan terus bertahan.
Plan utama kami adalah emas hitam dari hasil ternakan sebagai keuntungan. Hasil tanaman kami telah bertambah menggunakan baja ini. Begitu juga lembu, walaupun hanya 3 ekor pada Dis 2009 ia bertambah menjadi 5 ekor. Insyallah tidak lama lagi sekor ibu muda akan melahirkan anak.
Ramai di antara kawan-kawan bertanya kenapa membeli rumah di tepi Sungai Klang, tambah mereka lagi dengan harga ini boleh memiliki rumah dan persekitaran yang lebih menarik. Saya jelaskan kepada mereka bahawa setiap orang berbeza akal tetapi tujuan satu iaitu mencari kepuasan hidup. Mungkin 20 tahun lagi bila saya tidak berkerja tetap seperti sekarang mungkin masa saya banyak di kebun, sebab saya minat.
Saya percaya rakyat Malaysia akan lebih prihatin di masa medatang tentang semula jadi seperti penjagaan serta kebersihan sungai dan sumber makanan dsb. Masyarakat bandar akan cuba mencari alternatif macam rancangan tv di UK 'River Cottage', di mana mereka sebagai satu komuniti yg mengusahakan tanah terbiar. Rasanya dulu kita ada program seperti ini di kawasan Putrajaya.
Saya ada beratus gambar yg saya ambil mulai tahun 2004 semasa saya mula 'menceroboh' kebun ini. Begitu juga gambar rumah yg bakal saya duduki dari awal pembinaan dan Insyallah sampai siap. Saya mengambil bila ada perubahan besar, yang terkini ialah pemasangan bumbung.

Wednesday, July 06, 2011

Mencari Kasut Kebun di Vietnam

Khamis lepas dapat peluang pergi ke Vietnam selama 3hari. Selama ini selalu dengar cakap orang kalau beli kain baju,beg,kasut murah inilah tempatnya. Sesampai ke hotel letak barang terus ke Ben Thant. Biasanya orang tak berapa ramai kalau beli waktu pagi-pagi ni lagipun peniaga akan beri harga murah jika kita pelanggan pertama. Masa tu kita minta harga murah gila klu ada rezekai dia mesti bagi. Kalau harga sudah diberi jgn tak jadi beli kelak kena maki, katanya kita tak membawa 'ong' kat kedai dia.
Tujuan ke sini nak teman
kawan saja tapi dah sampai baik saya cari kasut dan topi kebun. Jalan punya jalan ada satu kedai bagi harga bagus untuk barang orignal. Setelah mencuba pakai pelbagai jenis kasut akhirnya saya memilih kasut Salomon ini. Nama mmg tak berapa kenal tapi sebabkan selesa dan murah saya ambil 2 pasang sekaligus. Kemudia beli lagi sepasang kasut Timberland. Antara dua jenis kasut ini kaki saya lebih selesa memakai kasut Salomon yang ada teknologi Gore-Tex. Bila surf internet rupanya kasut ni hebat juga ya....

Tuesday, June 21, 2011

Mencari Peluang Lain

Siapa yang tak sedih bila pelanggan tetap dah tidak mahu produk kita lagi? Pasti kita tertanya-tanya kenapa ya?produk kita tak relevan lagi ke?mutu dah tak sebaik dulu? Maka, bermacam-macam persoalan timbul dalam kepala. Jika ini berlaku usah kita risau dan berterusan sedih tapi anggaplah satu peluang untuk kita mematang diri dalam bisnes. Yang penting Persangka Baik kena tanam dalam minda kita dan berfikiran positif.

Itulah yang dialami saya sekarang, kedai yang selalu mengambil pisang dah tak nak lagi.
Terpaksalah kena cari kedai atau pasar lain atau kena buat pelbagai produk siap, contoh spt pisang goreng,kerepek,salai....Sebenarnya ada hajat nak buka gerai tapi nak dapat lesen/permit bukan senang kalau ada permit pun tempat tak strategi.Buat yang kat tepi jalan kena hambat pulak. Selalu juga sembang dgn kawan yang bisnes kat gerai kat tepi jalan dia kasi idea tapi berlawan dgn prinsip hidup. Ada buat tinjauan tadi ada pasar di sek 16 nak pisang nangka tapi harga RM1/kilo. Nampaknya klu tiada peluang lain terpaksa tolak kat sini sebab pisang kat kebun mulai tua dan ada yang masak.

Dalam sedih-sedih dpt berita kambing boer di kebun beranak 2 ekor, Alhamdulillah. Begitulah hidup! yang penting kena ikhlas dan persangka baik.





Tuesday, June 07, 2011

Wiring

Kerja-kerja pembinaan rumah teras 2 tingkat yang saya beli bakal siap tahun depan begitu rancak berjalan sekarang ini. Boleh di katakan setiap minggu ada perubahan positif di tapak
pembinaan sebagai contoh minggu lepas pendawaian dan pembinaan lantai tingkat 1.
Gambar di bawah kelihatan 4 paip pvc (tambahan 2paip) untuk wiring tingkat bawah manakala untuk rumah jiran ada 2 paip pvc.

Masa pendawaian ini di antara waktu yang saya tunggu-tunggu kerana pada masa ini pemasangan paip pendawaian akan di buat. Kebiasanya mengikut standard rumah baru sistem 3 pin soket untuk bahagian dapur selalunya tidak mencukupi. Jika di rumah sekarang saya memerlukan 5 tempat 3 pin soket:-
i.Soket untuk Peti sejuk
ii.Soket untuk microwave oven
iii.soket untuk periuk nasi
iv.Pemanas air
v.Penyedut asap

tapi mengikut plan dalam S&P cuma ada 2 soket kat dapur kalau nak tambah bila rumah siap nanti kos dan keselamatan kena ambil kira. Ada setengah kontraktor akan membuat penyambungan dari soket dapur sedia ada kerana lebih cepat dan mudah. Sebenarnya ia kurang selamat sebabnya wayar ke soket sekarang ini saiznya kecil mungkin sesuai 1 atau 2 beban saja.
Saya telah menambah 5 tambahan soket terus ke kotak suis utama. Saya juga akan menambah kotak suis pendua untuk tingkat 2 melalui lubang tambahan pvc bersaiz 1 inci seperti di bawah(ikut plan asal hanya ada 1 lubang saiz 3/4inci ketingkat 2 yg bersambung di kotak suis utama.

Friday, April 08, 2011

AL-FATIHAH UNTUK AYAHANDA MERTUA SYED MOHAMED YASIN SYED ABD RAHMAN

Seawal jam 5:30pagi pada 5/4/2011 saya terjaga dari tidur, niat hati saya ingin melihat ‘abah’, ayah mertua yang berada di PPUM sejak semalam. Matlamatnya selepas waktu subuh saya bercadang ke PPUM sebab malam tadi abah banyak kali membuat panggilan ke handphone org rumah tapi bila di angkat tiada jawapan cuma dengar sayup-sayup bunyi mesin degupan jantung. Biasanya abah acap kali tertekan nombor orang rumah. Entah mengapa pagi tu, saya tidak jadi singgah ke PPUM sebaliknya terus ke pejabat kerana jam 8:45pagi ada kelas latihan WiFi yang perlu di uruskan. Saya bercadang datang selepas perasmian kerana boleh melawat abah lebih lama lagi taklah perlu tergesa-gesa. Tapi perancangan Allah yang mengubah segalanya, saya dapat berita abah meninggal sebelum membuat perasmian. Sempat saya bacakan teks ucapan Al-Fatihah untuk abah sebelum perasmian dan 5 minit kemudian saya terus ke hospital. Dalam perjalanan melalui DUKE saya mengubungi ibupejabat memaklumkan berita ini dan biasanya pengumuman ke seluruh staff melalui sistem audio akan disebarkan. Maaf pada kekawan kerana tak dapat balas balik sms yg di hantar.

Mencari tempat letak kereta di PPUM memang sukar terutama dalam waktu pejabat, dulu abah ada zikir yang diturunkan kpd org rumah jika jalan sesak,tiada parking atau sbgnya dia suruh baca…..semuanya akan mudah,insyallah. Sesampai saya di tingkat 4 CCU ramai sudara yang sudah menunggu. 20 minit kemudian jenazah abah sudah di bawa keluar dari hospital dan anak sulung beliau meminta ke masjid jalan 224 PJ untuk di mandikan. Alhamdulillah, saya dapat memandikan dan memkafankan beliau, sewaktu hayat dulu abah suka naik basikal (sebab itulah yang dia ada) dan memakai selipar. Jadi peluang memandikan ini saya gunakan untuk bersihkan tapak kaki dan tangan. Tapi….semua sudah bersih tiada tumit yang pecah-pecah yang biasa saya nampak dan tiada dedaki dan tiada najis bila di tekan perutnya. Wajah beliau bersih seolah-olah dia sedang tidur. Selepas tu jenazah abah di bawa ke Masjid Al Nahdah Al-Islam Seksyen 18 Shah Alam pula untuk di sembayangkan tapi di sebabkan waktu zohor sudah hampir kami menunggu azan. Selesai solat tahiyatul masjid, saya terlihat kucing masuk dan duduk bersebelah saya. Kuching yang sama duduk bersebelah keranda yang kami letakkan di depan bilik pak siak ke dalam masjid tadi. Hati saya berdetik kenapa biarkan kuching masuk kedalam masjid takut ia kencing kat karpet kan susah. Bila sekarang saya fikirkan semula, baru saya ingat abah selalu suka kasi makan kuching-kuching kat belakang rumah saya. Kadang mak mertua saya bising bila bersihkan lorong belakang rumah sebab tulang-tulang ayam atau ikan berselerak katanya malu kat jiran. Kadang abah jawap kerana ikhlas pada anjing org boleh boleh masuk syurga. Selesai solat zuhur pihak masjid terus membuat pengumumum dan menerangkan serba ringkas solat jenazah. Masa solat jenazah hujan lebat turun tapi terlalu sekejap rasanya kurang 5 minit. Sebab bila bawa jenazah keluar dari masjid hujan dah berhenti tapi nampak sekitar masjid dah basah. Saya singgah ke Carefour Sek 23 untuk membeli air100 plus dan air mineral untuk jemaah yang menghantar jenazah. Rasanya lewat 15 minit dari van jenazah tapi bila sampai sana semua sudah selesai cuma baru nak mulakan bacaan talkin. Laju betul dia orang buat kerja menguruskan perkuburan di sek 21 Shah Alam semuanya teratur. Rugi betul saya tak sempat turun menyambut arwah dlm kubur, bila balik rumah saya besan yg sama2 turun meyambut jenazah bercerita dia tidak pernah mengangkat jenazah seringan abah. Terlalu mudah.

Apa yang terkilan saya tidak sempat meminta ampun di saat kematianya, entah kenapa saya tidak tergerak hati untuk melawat semasa arwah membuat banyak panggilan pada malam jam 11 sebelum meninggal. Rasa teramat bersalah dan menyesal mungkin sukar untuk dipadamkan , semoga daku mendapat petunjuk. Al Fatihah pada abah Syed Mohamed Yasin bin Syed Abd Rahman semoga ruhmu ditempatkan dikalangan orang-orang yg beruntung dan semoga kami mengikuti sifat-sifat mulia abah.Amin.

Friday, February 25, 2011

Rumah Belum Terjual Lagi

Dah banyak kali orang datang tengok rumah yang saya duduk sekarang tapi belum ada rezeki lagi yang buat serius deal. Kebanyakan nak minta kurangkan harga.Kalau sikit2 tak ada hal, buat masa ini masih menunggu lagi....Insyallah esok, lusa,tulat atau mungkin tahun depan kalau ada, jika tidak nampak gayanya kena sewakan rumah ini.
Terima kasih pada kekawan yang mendoakan cita-cita saya membeli rumah dekat tepi kebun. S&P sudah di tandatangani pada bulan 12 yang lalu. Sekarang ni kerja-kerja dah 20 peratus.Di jangka rumah boleh diduduki pada Ogos 2012, tapi rasanya mengikut track rekod pemaju ia siap lebih awal.Gambar di ambil bermula bulan 5 tahun lepas hinggalah la ni.....

Wednesday, September 15, 2010

Perkembangan Terkini Tanah Rezab Sungai.

Masih belum terlambat bagi saya sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Semoga puasa yang telah ditempuhi tahun ini menjadi pemangkin untuk menjadi insan yang lebih baik, Insyallah.

Pada pagi 1 Syawal kami telah menerima kelahiran satu kambing boer, kebetulan pada masa itu kami berada di kampung.Walaupun tiada siapa yang menyambut kelahirannya ia selamat dan sihat, Alhamdulillah. Begitu pada bulan puasa kami juga dapat seekor lagi anak kambing. Sempena menyambut bulan kelahiran kami menamakan kedua-dua anak kambing betina sebagai Ramadani dan Syawali.
Mengenai lembu pula, 2 ekor induk betina bersedia untuk menjalani proses untuk mengandung selepas raya ini berikutan Jabatan Verterina bersetuju datang kekebun.

Tanaman pucuk manis dan pokok asam yang ditanam secara percubaan bagi kegunaan sendiri seakan berjaya. Pembesaran agak perlahan kerana tidak pernah menyirami seperti di ladang en. Zakaria.


Projek syawal yang di lancarkan 2 tahun lepas yang melibatkan tanaman pokok kantan dan pisang nipah juga telah mengeluarkan hasil.

Sunday, August 29, 2010

Rumahku Syurgaku Untuk Dijual

Sebenarnya saya tidak tahu cara yang paling berkesan untuk mengiklankan rumah untuk dijual. Entah mana mahu mula dulu, tapi niat hati ingin menjual rumah yang saya duduki sekarang ini. Rumah yang saya diami ini sudah banyak berubah daripada keadaan asal. Lantai simen dari tingkat bawah ke tingkat 3 sudah di ubahsuai. Di tingkat bawah lantainya dipasang 'broken marble high grade' manakala tingkat1 dan 2 dipasang dengan parkir kayu grade A. Bahagian dapur telah dibesarkan dan tile sehingga ke siling. Manakala ruang tamu kami kami besarkan dan pintu kaca berbingkai kayu bagi mendapatkan pengcahayaan lebih di siang hari. Bilik air di tingkat 1 dan 2 juga telah diubah suai mengikut citarasa terkini termasuk tile2 yang di import dari Spain. Kedudukan rumah selang dua pintu dari rumah tepi banyak memberi banyak ruang letak kereta jika ramai tamu datang ke rumah.Begitu juga jarak dari sekolah rendah kebangsaan (2) cuma 150 meter memberi keselesaan jika ada anak yang bersekolah dengan berjalan kaki. Tambahan tanah yang berstatus 'freehold' memang jarang-jarang ada di Shah Alam. Rumah yang berada di Seksyen 25 di jual bukan atas dasar keuntungan tetapi untuk mendapatkan titik pulang modal agar tuan rumah baru nanti menikmati setuasi menang-menang seterusnya merasai barakah, Insyallah....
hubungi eldor 016-2199967 untuk harga terbaik.


Saturday, July 03, 2010

Lawatan Kedua Ke Ladang Pucuk Manis


Alhamdulillah petang tadi sampai hajat untuk melawat kali kedua ke ladang En. Zakaria di Beranang. Misi kali ini adalah mengambil anak benih berupa keratan batang pucuk manis. Saya pernah menulis tentang En. Zakaria dalam post terdahulu, cuma kali ini ada gambar ladangnya sekali. Sebelum ini ada diantara kawan-kawan di tempat kerja berat untuk mempercayai adanya tanaman pucuk manis yang melebih dari 10 ekar bila saya ceritakan tentang keluasanya . Kali ini mungkin mereka percaya bila melihat gambar kehijauan pokok-pokok pucuk manis yang begitu luas bukan itu saja beliau juga menanam sayur asam yang di tanam berhampiran ladang ini. Projek sayur asam ini telah dimulakan tahun lalu dan buat masa ini hanya 2 ekar yang mengeluarkan hasil.

Bila menyebut tentang pengalaman dulu beliau pernah mencuba berbagai projek tanaman seperti timun,kacang,serai dan tebu hinggalah kepada ternakan ayam kampong. Tetapi dia cukup serasi dan selesa bila mencuba tanam ini kerana pokok sayur ini cuma ditanam sekali sahaja dan hasilnya masih boleh dipetik hingga ke hari ini walaupun ada pucuk manis yang melebehi 4 tahun.

Saya mengenali En Zakaria bukan sahaja rajin semasa bekerja di TM bahkan selepas pencen dia masih begitu komited bila melakukan sesuatu kerja. Itulah rahsia kejayaan beliau.

Tuesday, June 15, 2010

Tanam Semula Di Fasa 1,2 dan 3


Penanaman semula rumpun pokok kantan telah di mulakan pada fasa 1,2 dan 3 pada hari minggu selepas kerja meracun rumput selesai.Sebanyak lebih 75 rumpun yang mengandungi sekurang-kurangnya 3 batang pokok pada setiap rumpun selesai di tanam. Jarak antara rumpun ialah 5-6kaki dan hanya sebaris yang di tanam kerana kawasan ban yang sempit disamping saya akan menanam pokok pisang nangka di sebelah tepi ban tidak lama lagi. Pada hari minggu juga saya telah menanam rumput napier taiwan di lereng-lereng ban berhadapan kawasan perumahan, hanya sebaris yang telah ditanam memandang pihak pemaju akan memenuhi lereng ban dengan rumput bagi mengelakan hakisan.

Thursday, June 10, 2010

Tolak dan Ansur

Pagi tadi Mr. Teoh dari pemaju perumahaan yang membangunkan kawasan perumahan berhampiran kebun menawarkan untuk membersihkan atas ban sungai. Sebenarnya saya meminta pihak pemaju supaya dapat membuang sampah dari kerja-kerja membersihkan dan meratakan tapak rumah sebelum menanam cerucuk dimulakan. Sebelum ini sampah banyak di longgokan di sepanjang ban sungai bukan sahaja menggangu jalan tetapi mencacatkan pemandangan.


Inilah tapak perumahan yang berhampiran dengan ban sungai sudah siap ditanam cerucuk. Jumlah bilangan rumah yang bakal di bina pada fasa ini mengandungi 59 unit. Ia mempunyai 4 baris dan baris yang terakhir akan dibina 4 unit, terletak hampir 150 meter dari PS2.




Memandangkan kerja-kerja membersih longgokan sampah atas ban siap awal, saya meminta pemandu back-hoe membuang rimbunan pokok-pokok pisang yang terkena penyakit. Bekas tapak pokok pisang ini akan digantikan dengan pokok kantan.Nampak sungguh cepat bila kerja kebun menggunakan mesin, rasanya kalau guna manual dua tiga hari baru siap. Selepas selesai kerja, Mr Teoh berjumpa saya di PS2 dan mengucapkan terima kasih atas tolak ansur dan kerjasama yang di beri selama ini.

Thursday, May 27, 2010

Runtuhnya Pengkalan Semangat 1

Petang semalam selepas balik kerja saya melawat perkembangan terbaru tanah di sebelah utara. Di sinilah terletaknya fasa 1 dan 2 yang mengandungi pondok pertama yang di dirikan empat tahun dulu. Pondok ini saya namakan Pengkalan Semangat 1,PS1 bersempena dengan pembukaan tanah dan lambang penerokaan tanah rezab sungai di bandar. Banyak kenangan semasa dan selepas pondok ini di dirikan salah satunya ialah membuat kerepek pada bulan puasa tiga tahun lepas.

2 tahun lepas pihak jurukur telah memaklum kepada saya bahawa kawasan pondok ini akan di majukan. Ini bermakna pondok dan tanaman jika termasuk dalam sempadan akan di bersihkan. Saya masih mengingati kata-kata juruukur supaya memindahkan pondok dan tanaman yang terlibat. Saya akur saranan beliau cuma saya tidak dapat memindakan pokok kelapa dan pondok. Pagi tadi saya berjumpa jurukur (Teo) dan beliau masih mengenali saya lagi. Dia menawarkan untuk memindahkan pondok dan pokok kelapa di tempat mana yang saya pilih. Malang sekali di sebab pondok yang telah usang ia tidak dapat di selamatkan, tetapi pokok kelapa pandan, durian dan mangga selamat di pindahkan di tempat baru. Pokok-pokok itu di tempatkan di tepi rumah yang akan saya beli nanti, Insyallah jika ada rezeki.
Rasanya jika menggunakan kudrat 4 kerat ini tidak mungkin saya mampu untuk mengangkat pokok-pokok kelapa ini. Alhamdulillah semua kerja-kerja telah selesai dipindahkan cuma saya selepas ini akan memberi pemantauan lebih ke atas pokok -pokok di tapak baru ini.

Tuesday, May 11, 2010

Capaikan Cita-Cita Kami.


Seperti biasa sebelum ke pejabat sempat singgah ke kebun dulu, rasa ada kelainan sedikit kerana tapak perumahan yang berhampiran dengan kebun sudah ada tanda-tanda untuk di majukan. Banyak tanah merah yang di longgokan tempoh hari sudah di ratakan dan kayu-kayu penanda untuk menanam cerucuk-cerucuk sudah berada di tempatnya. Sebenarnya saya sudah menunggu terlalu lama untuk melihat saat-saat seperti ini. Sejak bermulanya projek perumahan dulu perasaan ingin membeli rumah di kawasan ini sudah ada tetapi kerana jarak pada fasa terdahulu jauh dari kebun maka saya terus menanti.

Oleh kerana terlalu lama mengikuti master plan kawasan perumahan ini, saya sudah menentukan lokasi mana yang terbaik. Kerap datang ke kebun sambil meninjau kemajuan perumahan membuat saya di kenali pekerja-pekerja yang tinggal di kongsi yang berkerja di tapak perumahan, baik yang datang dari indon hinggalah bangla. Mengenali dan berbuat baik kepada mereka sebenarnya membawa kebaikan kepada kita, jika dulu banyak tanaman yang hilang tapi kini mereka sama-sama menjadi mata-mata jika ada orang luar datang ke kebun.

Di kesempatan ini saya meminta saudara dan kawan-kawan mendoakan bersama.Ya Allah, permudahkan dan capaikan cita-cita kami untuk membeli rumah berhampiran kebun ini dan semoga daku sentiasa terdiri dari orang-orang yang bersyukur.



Tuesday, May 04, 2010

Lawatan ke Kebun Pucuk Manis

Lama betul tidak mendengar berita tentang kawan saya ini, rasanya sudah berpuluh tahun. Saya mengenalinya semasa membuat ibusawat Beranang, entah macam mana bila baru-baru ini saya ada masalah talian telefon di kawasan Semenyih terus saya menghubunginya melalui telefon, katanya dia baru bersara dan sekarang dia ada kat kebun. Borak punya borak dia mengajak saya datang ke kebunya.
Pada bulan lepas saya berkesempatan singgah kekebun En. Zakaria di Batu Rembau, cukup luas tanaman beliau hingga kelihatan sayu sejauh mata memandang. Berbaris pucuk manis di tanam atas beratus-ratus batas. Menurut En. Zakaria buat masa sekarang terdapat lebih 200000 pokok pucuk manis di atas lebih 10 ekar dan secara konsisten mengeluarkan 300kg pucuk manis sehari.
Kerana terlalu asyik bercerita hingga terlupa langsung mengambil gambar, Insyallah saya akan masukkan kemudian bila buat lawatan kedua nanti.

Saturday, April 03, 2010

Lawatan Ke Kebun Bunga Kantan.


Minggu lepas kawan saya memberitahu ada saudaranya mengusahakan kebun dengan menanam pokok bunga kantan. Menurutnya penanaman ini telah lama di buat dan ia merupakan sumber pendapatan tambahan. Alhamdulillah, sampai juga saya ke rumahnya semalam itupun setelah bertanya pada penduduk kampong kerana saya tiada alamat lengkap. Saya di sambut mesra dengan Tuan Haji Asmaui walaupun tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali tetapi atas dasar persaudaraan seagama beliau menceritakan pengalaman tentang pokok kantan. Katanya dia telah berkecimpung dengan penanaman ini sejak tahun 90an lagi. Pihak jabatan pertanian telah memberi bantuan dari segi benih, baja dan cara penjagaan yang betul kerana pada masa itu belum ada lagi pekebun yang mengusahakan secara serius. Dulu beliau ada dua 2 kebun yang di tanam sepenuhnya dengan kantan, tetapi kini hanya tinggal satu kebun yang juga tempat tinggal beliau sekarang. Kebun yang ada sekarang seluas 2 ekar, dari tinjauan saya luasnya tanah yang di tanam kantan ialah 1 1/4 ekar setelah di tolak dengan tapak rumah dan pokok lain seperti kelapa dan buahan. Katanya dari keluasan yang ada beliau boleh mengeluarkan 600-700 kuntum seminggu jika musim hujan. Hasilnya akan merosot kepada 300-400 kuntum seminggu ketika musim kemarau. Buat masa ini pasaran untuk sekuntum ialah 40 sen beliau menjual kepada peraih. Menurutnya peraih ini membekalkan kepada satu kilang untuk membuat sos laksa dan tomyam yang di ekspot ke Thailand dan Singapura. Saya meminta beliau jika mengetahui kilang tempat pemprosesan bunga kantan supaya dapat menghubungi saya, manalah tahu jika dapat peluang melawat ke dalam kilang.

Tuesday, March 16, 2010

Harapan Pada Sungai Klang

Pemandangan sampah-sarap yang hanyut di sungai Klang terutama bila air pasang sudah menjadi pekara biasa. Ada kalanya sampah terlalu banyak dan membentuk berpuluh-puluh rangakaian pulau yang hanyut berbatu jauhnya. Pasti setiap orang yang melalui jambatan ke Taman Alam Impian dan jambatan menuju ke Taman Seksyen 25 Shah Alam mudah melihatnya dan akan menggelengkan kepala. Mungkin suatu masa nanti generasi akan datang akan dapat melihat Sg. Klang yang cantik dan bersih sebagaimana sungai-sungai di serata seperti di Amerika, UK, Germany, Jepun, Singapura dan lainya yang telah di pulihara. Harapan saya semoga apa yang hendak di laksanakan oleh pihak kerajaan negeri Selangor ini tercapai, Insyallah.

Four Companies Selected To Rehabilitate Klang River

The Selangor government has selected four companies to carry out the Klang River rehabilitation and development project, which is part of the state's economic stimulus package, unveiled last year. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim said the three companies, TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering Sdn Bhd and YTL's Wessex Water I-Bhd Consortium were chosen from among 37 companies. He said the RM1 billion would be spent in development cost while another RM1.0 billion would be spent on cleaning and rehabilitating the river. The government has gazetted 50 metres from the river as a "river reserve" to prevent any new development or settlement along the 120 kilometre-long river. The initial stage of the project would take between two to three years to complete while the entire project will be developed in about 15 years.

Sunday, March 14, 2010

Senjata Makan Tuan.


Seperti hari-hari hujung minggu atau cuti umum, biasanya saya sudah sampai ke kebun awal-awal pagi. Begitulah hari ini. Niat hati mahu bersihkan kawasan tepi sungai seperti yang telah dirancang sebelum ini. Gambar di mana tapak projek yang akan di buat pun sudah di ambil bahkan sudah di teliti dalam pc malam tadi. Bila tekad sudah kuat dan matlamat nampak jelas maka mudahlah sikit ia dilaksanakan. Pekara pertama ialah membersihkan di bawah pokok kayu-kayu besar dengan menggunakan parang. Banyak jenis tumbuhan yang menjalar dan memanjat di kawasan ini, jika tidak di bersihkan dulu susah dan merbahaya bila pokok besar di tebang. Ada setengah pokok jenis memanjat ini amat kuat memaut dahan pokok, jika pokok ini di potong dengan chain saw dan tumbang dahan yang di paut ini boleh patah dan kemungkinan mengempap tanpa di sedari.Ini penting memotong tumbuhan menjalar dan membersihkan di bawah dulu. Sebenarnya bahaya berada di mana-mana, pagi tadi semasa membersihkan bawah pokok saya telah terkena parang. Mulanya saya tidak merasai kesakitan jadi saya meneruskan kerja tapi lama-kelamaan kaki rasa pedih. Ya Rabbi! Banyaknya darah sampai sarung kaki pun basah. Ingat sedikit lukanya rupanya panjang dan dalam. Saya mengikat luka dengan kain dan bergegas balik ke rumah dan ke klinik. Selepas doktor mencuci luka, memberi 6 jahitan dan suntikan kancing gigi barulah terpaksa berehat. Inilah hari minggu yang mejemukan, rasa begitu lama berada di rumah. Moral dalam kejadian ini, kita hanya boleh merancang tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya.

Saturday, March 13, 2010

Memperbarui projek Syawal 2008

Inilah foto yang diambil pada bulan Syawal 2008. Ia menunjukkan dua baris bunga kantan di tanam di sebelah bawah ban sungai (kedudukan sungai di sebelah kiri). Tanah di sebelah kanan pada foto ini agak cerun sedikit dikenali sebagai ban sungai. Lebar antara jarak tebing sungai dengan kaki cerun pada ban ini lebih kurang 60 kaki. Manakala panjang yang telah di tanam dengan pokok kantan melebihi 1km. Mengimbau kembali foto ini mengingatkan saya tujuan saya memindahkan pokok kantan dari atas ban ke sebelah bawah adalah untuk memperbanyakkan jumlah pungutan hasil. Pada masa itu tidak terfikir di manakah pasaran yang hendak di jual nanti.


Sebenarnya foto ini di ambil untuk menunjukkan lembu yang baru sampai pada bulan Dec 2009, tetapi kebetulan kedudukan lembu berposing berdekatan dgn pokok kantan yang di tanam. Jadi bolehlah di gunakan untuk melihat perkembangan projek syawal selepas setahun berlalu. Inilah keadaan pokok kantan selepas berumur setahun satu bulan dan sememangnya masih belum lagi boleh mengeluarkan hasil. Saya membiar pokok kantan tanpa baja bagi melihat pembesaran secara semula jadi dan cuma mengawal rumput pada sekeliling pokok supaya tidak terlalu semak.

Ini gambar terkini yang di ambil pagi tadi 13/3/2010 setelah hampir setahun lima bulan. Setelah agak lama menunggu Alhamdulillah sudah ada pokok pisang yang berbuah begitu juga bunga kantan yang boleh dipetik. Dulu saya tidak tahu di mana mahu memasarkan bunga kantan jika banyak jumlahnya tapi kini bekalan ini tidak mencukupi untuk di bekalkan di sekitar tempat tinggal saya.





b








Bagi memenuhi pasaran untuk dua tahun mendatang saya cuba menambah jumlah tanaman dan pembesaran kawasan baru. Jika di perhati di belakang lembu pada foto di atas terdapat rimbunan pokok tebu sungai. Sebenarnya itulah kawasan zon penampan selebar 30 kaki yang saya tinggalkan. Oleh kerana pokok kantan sesuai mengantikan fungsi tebu sungai sebagai pengurang hakisan tanah saya telah menjalankan kajian. Minggu lepas saya memulakan projek menebas dan membersihkan kawasan tebu sungai (tinggi hampir 7-8kaki, 10kaki pun ada), takut juga masa itu sebab buat kerja seorang-seorang. Sebenarnya saya takut pada binatang berbisa, nasib baik ada lembu bolehlah saya parking berdekatan jadikan 'teman dan front liner' bila mahu bersihkan satu-satu kawasan.